LIKU KEHIDUPAN PERJUANGAN JUTAWAN HARTANAH DATO MOHAMAD AZLAN


Tiada kejayaan tanpa usaha dan pengorbanan,begitulah yang di lalui oleh Jutawan Hartanah Muslim kita Dato Mohamad Azlan.
Sumber: Facebook Dato Mohamad Azlan Ali

LIKU LIKU MENUJU KE PUNCAK.

"Saya bermula pada Ramadhan 2010 berbekalkan wang hanya rm1.30 sen yang dibekalkan ibu saya sewaktu keluar mencari kerja. Itu saja yang ibu termampu, selebihnya adalah bekalan doa yang mengiringi langkah saya.

Ya, ibu ayah orang miskin dan kami daripada keluarga yang sangat susah. Saya sendiri pernah bekerja sebagai pengutip sampah hanya untuk turut membantu keluarga.

Masa awal awal mula bisnes hartanah kira kira hampir 12 tahun lalu, saya perlu bermula dari bawah. Segalanya kosong kecuali minda dan hati yang penuh terisi semangat berkobar untuk berjaya. Saya tahu modal wang adalah satu keperluan yang amat penting bagi mengembangkan perniagaan.

Waktu tu, bank pun tak beri pinjaman. 

Kawan kawan nak beri pinjam, tiada siapa nak percaya dan mereka pun mungkin tidak mampu nak bantu pinjamkan modal.

Tiada jalan pintas, jadi saya terpaksa melalui susah payah membina perniagaan daripada bawah tanpa modal sert pengalaman pun. 

Saya belajar jual tanah. Susah payah saya hadapi penuh tabah, belajar sedikit demi sedikit. Waktu itu, saya lupakan segala keseronokan dunia remaja. Kawan kawan masih merempit, tapi saya sedang membina kejayaan hidup berdikit dikit. 

Saya usahakan jual tanah tanah lot bekas cikgu saya yang diamanahkan supaya saya cari pembeli. Waktu tu, saya tak pandai apa pasal online dan hanya guna pamplet saja ke sana ke sini. 

Setiap pagi sebelum keluar ke mana mana  jumpa sesiapa untuk bagi pamplet, saya singgah dulu di surau atau masjid berdekatan untuk solat sunat dhuha serta hajat. Doa jadi kekuatan, di saat diri tiada apa apa kecuali segunung harapan untuk membina masa depan.

Percubaan saya menjual tanah berjaya, Allah permudahkan langkah walau banyak perjalanan tetap perlukan mujahadah. 

Saya nekad menyimpan komisen komisen yang saya perolehi hasil daripada jualan sebagai ejen hartanah. Tidak lama kemudian, saya mengundur diri daripada syarikat bekas cikgu saya dan saya mulakan langkah pertama untuk berniaga sendiri dengan membeli tanah seluas lebih 6 ekar.

Daripada situlah, saya melangkah ke depan perlahan lahan dan mengalami banyak jatuh bangun sebelum mampu bertapak lebih kukuh.

Sejujurnya, bidang hartanah memerlukan modal yang besar. Namun saya sedar,saya  memerlukan jiwa yang ternyata jauh lebih besar untuk menghadapi segala cabaran untuk terus berjaya.

Susah payah, saya hadapi dengan tabah. Berkali kali rebah, namun hati tetap tidak patah

Ketika baru ingin mengecapi kejayaan pertama pada tahun 2014, saya mengalami kejatuhan yang sangat teruk.

Satu urusniaga yang besar gagal, dan saya kerugian jutaan ringgit.

Saya sedih yang teramat, dunia terasa gelap dan saya bagaikan nelayan yang karam bersama kapal di tengah lautan dalam. Mujur, jiwa saya cekal. Yang karam hanya kapal, namun diri masih tidak tenggelam kelemasan. Saya berenang dengan semangat yang tidak ingin menyerah, dan akhirnya saya tiba ke tebing yang masih punya daratan harapan.

Enam bulan kemudian, saya berusaha bangkit semula. Pedih dan sakit masih terasa, namun saya buang jauh segala rasa perit serta putus asa.

Saya kekal positf, percaya bahawa ujian itu hadir untuk menguatkan saya dalam membentuk kebijaksanaan mengurus tadbir bagi takdir. 

Saya katakan pada diri, ini hanya dugaan, bukan kegagalan, tiada titik nokhtah selagi kaki terus melangkah dengan jiwa yang teguh bermujahadah penuh istiqamah.

Di saat saya hilang segalanya, saya tetap ada Allah. Kemudian baru saya sedari, dengan adanya Allah bermaksud saya masih punya segalanya walaupun zahirnya tiada apa apa. 

Sesungguhnya, yang jangan dibiarkan ' mati ' dalam hidup ini hanyalah dua, yakni IMAN DAN HARAPAN. Kerana hakikatnya, imanlah yang akan meniupkan nafas bagi harapan. Bukankah tanpa iman kita  hilang harapan ? Dan tanpa harapan, hidup sebenarnya sudah ' mati '.

Justeru, saya kemudiannya bermula kembali dari angka kosong, cuma kali ini jiwa terasa lebih terisi dengan pengalaman yang menjadi guru dalam kehidupan.

Hidup perlu diteruskan, bisik saya memujuk hati. Dengan semangat membara, saya menggunakan teknik "BERUNDING" dengan tuan tuan tanah untuk membeli tanah mereka.

Melalui "strategi tertentu" dan sedikit kemahiran berunding, saya berjaya bangkit semula dan mencatatkan pelaburan kasar berjuta ringgit dalam bidang hartanah. Alhamdulillah, sentiasa ada jalan jika kita punya tujuan. Benarlah, ketika semua pintu di bumi seakan tertutup rapat, pintu doa menuju ke langit senantiasa terbentang luas.

Dari situ, saya terus dan terus melangkah.

Terlalu banyak pahit yang perlu ditelan, namun saya tidak mengeluh panjang.

Sewaktu kita menangis dan jatuh, tiada kawan yang hampir. Justeru, sendiri mengajar saya erti berdikari.

Bila kita ketawa dan berjaya, ramai teman di sekeliling. Maka, sepi mendidik saya makna tabah.

Itulah lumrah hidup, kita harus tenang menelusurinya tanpa banyak mengeluh.

Nak jadi orang berjaya, bukan mudah. Selain usaha, perlu mujahadah.

Saya lalui hampir kesemuanya. Kawan jadi lawan, sahabat jadi seteru, dan teman jadi pesaing. Apa daya, kita tak mampu menahan arah angin yang bertiup, kita hanya mampu mengawal kemudi hidup kita agar pelayaran dapat diteruskan hingga tiba ke pelabuhan.

Ketika bersedih, saya pujuk hati supaya segera pulih. Saya santuni duka itu sebagai tetamu yang hanya singgah seketika, kemudian harus melangkah pergi jua.

Inilah lukisan alam yang menjadi warna warni kehidupan.
Sungguh, hidup tak selalunya indah kerana di situlah sebenarnya keindahan hidup.

Ketika kelam dugaan menyelubungi jiwa, saya tidak berputus asa. Menangis dalam kegelapan, tidak akan menemukan diri kepada cahaya. Gerhana tidak lama, mentari pasti menjelma. Kita hanya perlu secebis kekuatan untuk bertahan. 

Berkat sabar, jiwa makin besar. Berkat tabah, langkah lebih gagah.

Alhamdulillah, kini saya mampu menguruskan projek hartanah bernilai jutaan ringgit.

Syukur, walau dilimpahi sedikit rezki, saya masih lagi diri yang dulu. Boleh tidur di mana saja, boleh makan di mana mana saja, dan masih menjalani hidup penuh sederhana tanpa kemewahan. Ketika ramai usahawan berjaya memilih gaya hidup yang mahal, saya masih selesa dengan ' cara hidup yang murah '.

 Namun ujian tidak pernah berhenti, kerana ujian adalah cara Allah mentarbiyah hati. Jika dulu ujian kesusahan memulakan perniagaan, kini ujian untuk memajukan perniagaan. 

Para pesaing yang merasakan kehadiran saya dalam bidang hartanah seakan mengancam periuk nasi mereka, mula bersekongkol menabur paku paku fitnah dan duri duri tohmahan untuk melihat langkah saya tersekat.

Mereka menggunakan segala bentuk tipu muslihat untuk memastikan saya tersungkur.

 Pakatan team mereka kelihatan rapi dan bersepadu, diupah para cybertrooper dan page page murahan untuk menyebarkan segala bentuk fitnah terhadap saya. Ditekan pihak berkuasa supaya bertindak terhadap saya, kononnya saya seorang scammer atau penunggang agama.

Saya pula, macam biasa, ke sana ke sini menguruskan perniagaan dan menjalani kehidupan dengan tenang. 

Ya, apa nak kisah, jika saya ada buat salah, dakwa di mahkamah dan kita ikuti proses perundangan. Sebaliknya menyebarkan tohmahan atau persepsi di media masa tanpa sempadan dosa dan pahala, itu kerja orang pengecut. 

Saya ada dan bila bila masa sesiapa saja mahu berurusan dengan saya, hubungi nombor talian pengurus saya atau datang pejabat saya di Bangi. Hidup kena gentlemen, bukan pengecut baling batu sembunyi tangan.

Namun seperkara yang mereka lupa, bahawa rezki itu urusan Allah, bukan urusan manusia.

Mereka boleh merancang segala kerja jahat beserta kejahatan, tetap percayalah rancangan dan ketentuan Allah pasti lebih hebat serta penuh kebaikan.

Ketika ramai yang bertanya bagaimana saya bertahan apabila diserang oleh para pemfitnah serta hatters kiri dan kanan setiap masa, jawapan saya hanya satu :

"SERAHKAN SEGALANYA KEPADA ALLAH"

Jalannya masih panjang, dan perjuangan belum berakhir.

Kita bukan hanya perlu belajar daripada kenangan yang manis, tetapi kita juga turut diajar melalui pengalaman yang pahit.

Kerana pada hakikatnya, pahit itu lebih banyak mendidik kita berbanding manis."

Popular posts from this blog

ASET HARTANAH DATO' AZLAN AL AMIN SEMAKIN BERTAMBAH.

KONSEP PERNIAGAAN JUTAWAN HARTANAH DATO MOHAMAD AZLAN SANGAT MEMBANTU.