ORANG BERJAYA POSITIF DENGAN CABARAN : DATO MOHAMAD AZLAN
Sumber dari facebook Dato Mohd Azlan.
PERMULAAN KEPADA KEJAYAAN MEMANG SUKAR.
Permulaan kepada sebuah kejayaan memang sukar, tetapi mengekalkan dan meneruskan kejayaan itu jauh lebih sukar.
Tidak ada kejayaan tanpa dihasadi dan dicemburui. Itu hakikatnya. Ia semacam satu sunnahtullah yang tidak bertukar ganti dan berubah.
Ya, dicemburui itulah petanda kita orang berjaya. Jika tidak dicemburui, itu sebahagian tanda kegagalan kita. Bukankah diungkapkan oleh orang yang bijaksana, tidak ada sesiapa mahu menendang anjing yang telah mati? Begitulah resam di dunia ini, jika miskin, dihina. Jika kaya, pasti jadi sasaran iri hati.
Inilah hakikat zaman berzaman. Walau apa pun keadaannya, pasti ada yang menyokong dan mesti ada yang menentang. Hitam lawannya putih. Gelap lawannya terang. Namun buat seorang yang berjiwa besar, keduanya adalah baik.
Dengan sokongan kita mendapat dorongan. Dengan penentangan, kita mendapat kegigihan. Mendapat pahala sabar dan mendapat ganjaran syukur. Ternyata, daripada kedua-dua golongan kita dapat pengajaran dan pelajaran. Tapi harus dengan syarat, jiwa mesti besar dan fikiran perlu positif.
Selamanya kita tidak akan dapat memastikan dan menduga dari arah mana ribut akan melanda serta gelombang akan bergelora. Itu ‘kerja’ Allah. Kerja kita ialah mengemudi bahtera kehidupan dan perjuangan kita. Jangan cuba dikawal arah angin, itu takdir. Tetapi kemudilah hati kita, itu tadbir.
Kita juga tidak akan dapat mengawal persepsi orang terhadap kita. Buruk baik kata orang tidak dapat ditahan. Namun, kekuatan jiwa kitalah yang harus ditingkatkan.. Jika buruk sekalipun, kita masih boleh mengambil kebaikan. Apatah lagi jika baik, kita boleh mendapat teladan dan pengajaran.
PERINGKAT AWAL PERNIAGAAN.
Saya akui, pada peringkat awal perniagaan, saya tidak mendapat bimbingan daripada seorang mentor pun. Saya redah dan terjah sahaja dengan berbekalkan keyakinan dan keberanian. Waktu itu guru saya hanyalah pengalaman.
Pengalaman yang bagaimana? Ya, saya belajar daripada sakit dan perit jatuh bangun dalam perniagaan. Bukan sekali tetapi berkali-kali. Jika belajar daripada mentor, kita boleh kurangkan kesalahan dan kepedihan daripada kegagalan. Tetapi jika kita laluinya sendiri, kita ‘terpaksa’ merasai kegagalan itu.
Sungguh, jauh benar bezanya antara memahami agar tidak gagal berbanding merasai kegagalan itu sendiri. Pada saya, merasai erti kegagalan sesungguhnya lebih baik daripada memahami kegagalan. Kepahitan sesungguh lebih banyak mengajar kita berbanding kemanisan.
Akhirnya, barulah saya sedari orang yang berjaya lebih banyak merasai kegagalan berbanding orang yang gagal. Justeru, orang berjaya ialah orang yang berani gagal. Kegagalan demi kegagalan itulah ‘mentor’ saya semasa memulakan perniagaan dulu.
Saya bukan tidak mahu dibimbing oleh mentor atau guru perniagaan, tetapi siapalah diri saya waktu itu untuk diterima sebagai seorang murid. Saya hanya seorang budak kampung, tidak berkelulusan dan berasal daripada sebuah keluarga miskin.
Setelah sekian lama saya mengalami jatuh bangun dalam perniagaan hartanah, kini saya telah sampai ke fasa kedua. Telah berlalu 10 tahun, berkat ketabahan dengan izin Allah, saya telah meninggalkan fasa ‘struggle’ dan ‘stable’ untuk menuju fasa ‘success’ dan ‘significant’.
Ketika hendak melonjak ke fasa seterusnya inilah ada pihak yang tidak senang dengan melihat saya ke depan dengan strategi dan inovasi baru dalam sistem jualan hartanah secara ansuran. Lalu saya 'ditembak' dan diterjah dengan pelbagai fitnah dan tohmah.
Kartel-kartel hartanah atau pihak-pihak yang seumpamanya, merasakan saya mesti dihapuskan daripada peta perniagaan hartanah ini. Mungkin mereka merasakan saya sebagai satu ancaman dan saingan kepada perniagaan sedia ada mereka.
Namun saya tetap berpegang kepada konsep rezeki. Rezeki telah ditentukan Allah sejak kita di alam rahim lagi. Rezeki itu seperti ajal maut, jodoh dan sebagainya. Ia sudah ditentukan Allah. Allah telah menentukannya. Sebagai hamba kita hanya mampu berdoa dan berusaha.
Kita wajib berusaha. Berusaha dengan sehabis gigih Tetapi jangan sekali-kali kita berasa sudah sampai ke tahap terbaik. Atas keyakinan rezeki daripada Allah, saya akan terus berusaha walaupun badai ujian menerpa dari kanan dan kiri.
Saya diibaratkan sedang mengendali sebuah kapal di tengah laut dalam yang bergelombang, dipukul ribut dan taufan. Namun jika ditakdirkan saya selamat, insya-Allah saya akan sampai jua di pulau impian.
Begitulah ibaratnya. Cabaran yang datang daripada karenah manusia dan segala isu negatif yang dilontarkan kepada saya bukanlah penghalang sebaliknya hanya rintangan yang menguatkan lagi kembara saya menuju kejayaan. Saya menganggap diri saya seperti layang-layang. Jika tidak melawan angin, layang-layang tidak akan mampu terbang ke langit tinggi.
PEMERGIAN DAN KEHADIRAN DALAM TEAM.
Berhubung dengan urusan pelantikan-pelantikan dalam syarikat Haji Land BHD, baik untuk jawatan CEO, COO, Penasihat Syariah, para pegawai hinggalah kepada warga kerja paling bawah, prinsip saya jelas. Bagi saya datang dan perginya sesiapa sahaja adalah perkara biasa. Pertukaran dan perubahan posisi itu biasa kerana situasi dan kondisi juga berubah.
Untuk menangani dan mengurus perubahan kita juga mesti berubah. Dan perubahan itu sifatnya sentiasa berubah-ubah. Bukankah yang tidak berubah itu hanya perubahan? Kita tidak boleh jumud dan statik. Kita perlu dinamik dan elastik.
Sesiapa sahaja yang pernah datang ke dalam syarikat saya, sama ada ke peringkat atasan, pertengahan dan bawahan, adalah orang yang baik-baik. Tetapi ada kalanya mereka terpaksa pergi juga kerana pelbagai hambatan, sama ada atas kehendak mereka sendiri atau kehendak syarikat.
Bila terjadi demikian, saya raikan. Ini soal biasa. Berpisah itu bukan berpecah, berpisah itu hijrah. Ia adalah satu strategi bukan tragedi. Itu hanya langkah demi langkah dalam proses penyusunan agar langkah perniagaan lebih baik dari semasa ke semasa .
Sama juga halnya dengan pelantikan CEO, COO, Pengerusi Eksekutif atau bukan Eksekutif, mahupun Penasihat Syariah.
Mereka juga boleh datang hingga apabila tamat tempoh mereka pun mereka boleh berhenti, atau tidak disambung lagi oleh pihak syarikat atas sebab-sebab tertentu. Boleh jadi kerana berlaku perbezaan pendapat berkaitan soal teknikal dan pengurusan.
Namun, hal itu tidak sekali-kali melibatkan soal hukum halal dan haram dalam syariat. Jika soal hukum syariat, semua pihak wajib patuh. Tetapi jika melibatkan soal strategi, teknik pengurusan dan strategi kepimpinan dan hal-hal teknikal yang lain, kita boleh berbeza dan tidak sependapat.
Selagi bukan menyentuh soal akidah, hanya soal Fiqah yang dibenarkan berbeza, maka kita dibolehkan berbeza dan memilih kaedah pilihan masing-masing. Namun apabila ada pilihan berbeza, kita mungkin tidak boleh bekerja dalam satu pasukan lagi, melainkan terpaksa berpisah untuk kebaikan bersama.
Oleh itu, saya terpaksa menggugurkan mereka. Tidak ada pilihan. Atau ada antara mereka yang menarik diri. Ada yang kontraknya disambung, ada yang tidak. Ada sektor yang digugurkan. Ada yang ditambah. Semua ini dilakukan secara harmoni dengan tujuan pembaikan, bukan kerana hal-hal negatif. Insya-Allah.
Malangnya, pihak ‘haters’, musuh perniagaan dan pesaing saya, jadi seperti lalat. Hinggap di ikan segar, mereka memindahkan kotoran. Hinggap di ikan busuk, mereka tambah membusukkan.
Pada musuh, seolah-olah tidak ada yang baik. Saya dan syarikat Haji Land Group BHD terus difitnah dan cuba disabotaj.
Begitu juga ulasan liar mereka yang menyangka diri bijak, tidak terkecuali orang orang yang zahirnya 'berpakaian' agama'. Mudah sangat menulis menimbulkan persepsi, kononnya bila penasihat syariah berhenti atau diberhentikan, maka syarikat itu pasti bermasalah dalam isu ketidakpatuhan Shariah mahupun undang-undang.
Apa mereka sangka setiap penasihat shariah itu maksud dan syumul dari sebarang kekhilafan? Jika begitu, adakah bermaksus setiap penceraian yang berlaku dalam rumahtangga itu berpunca daripada pengkhianatan suami atau isteri? Atau penceraian yg terjadi adalah disebabkan tidak berlaku patuh syariah dalam kehidupan berumahtangga?
Pada para natizemln dan sesetengah pemakai 'baju agama' , jaga jari jemarimu dan lisan mu, usah menjadi 'TUHAN' untuk menilai baik dan buruk apa yang tidak kamu ketahui!
Jangan merasa diri maksum, tulisan kamu hanya untuk menambah pedas dalam masakan orang lain mahupun kamu menulis untuk membela orang yang kamu suka atau menghentam orang yang kamu tidak gemar. Ingat, sesunggunya syurga itu bukan hanya untuk orang orang jahil, tetapi juga untuk orang orang berilmu yang jahat. Jadi, berhati hatilah mengulas.
Syarikat Haji Land Berhad sesungguhnya dalam fasa pembinaan. Walaupun begitu saya ingin tegaskan: Tidak ada kekhilafan apalagi kesalahan yang melibatkan soal halal atau haram dalam perniagaan saya. Saya tidak bertolak ansur dalam soal syubhat apatah lagi yang haram.
Saya ingin keuntungan tetapi keuntungan yang barakah.
Manakala dalam soal perlantikan atau pengguguran Panel Syariah, itu adalah ditentukan oleh sikap kebersamaan dan keserasian yang berkaitan soal-soal teknikal semata-mata.
Dalam kehidupan kita dibenarkan berbeza, tetapi dalam pasukan, kita harus selaras dengan bersama dengan ketua.
Atas prinsip itu, berlakulah beberapa penambahbaikan yang melibatkan pengguguran orang lama atau pelantikan orang baru demi penambahbaikan operasi syarikat.
Ini adalah soal biasa dalam mana-mana syarikat perniagaan, kecil mahupun besar. Tidak ada apa-apa isu sensitif untuk dibesar-besarkan kecuali bagi mereka yang terus mencuba mencari keburukan. Perubahan adalah langkah ke depan bukan mundur ke belakang.
Saya tidak ada sedih kerana pemergian sesiapa, bahkan saya sentiasa meraikan datangnya tenaga-tenaga kerja baru kerana itulah sebahagian warna warni kehidupan. Saya sendiri menganggapnya sebagai cabaran dalam perniagaan secara khusus, dan dalam kehidupan secara yang lebih umum.
Ini semua mehnah (didikan Allah) buat saya memperbaiki diri sendiri. Saya akan terus mara ke hadapan, insya-Allah. Saya katakan pada hati, jika aku memulakan kerana Allah, mengapa aku harus berhenti kerana manusia? Inilah hati pejuang, bisik hati saya. Jika aku berundur kerana manusia aku bukan pejuang. Aku pengecut.
Pejuang sentiasa melihat ke hadapan. Cuma sekali-kali saja dia menoleh ke belakang. Mara tetap mara. Maju tetap maju.
Sekali sekala ketika terdapat ‘pukulan’ yang terlalu keras, saya istirahat sejenak untuk mengenang kemanisan yang menanti. Sesungguhnya, mengingatkan kemanisan di hujung jalan akan menyebabkan kita mampu tersenyum dengan kepahitan di sepanjang jalan.
Sebagai pengasas perniagaan ini, saya perlu kuat kerana saya memikul amanah daripada orang yang memerlukan saya.
Saya sendiri sudah terbiasa dengan cabaran seumpama ini. Malah, saya merasa seperti ada suatu yang pelik, jika tidak diuji. Ujian sinonim dengan kejayaan, justeru bila tidak diuji... hati saya tertanya-tanya, apakah tidak ada lagi kejayaan yang mampu ku capai?
Sejak kecil saya dibesarkan dalam kesusahan. Kalau dulu saya diuji dengan kesusahan, sekarang diuji dengan kesenangan. Jadi saya sudah terbiasa. Daripada membuang masa untuk mengeluh, lebih baik masa saya fokus untuk bersyukur.
Syukur saya telah tiba di titik ini. Namun, masih ada gunung untuk didaki, lautan dalam untuk dilayari. Perjuangan terus menuntut seribu satu kesukaran, sejuta kesulitan, di jalan yang penuh liku, onak dan duri. Itu sunnah orang berjuang.
Tetapi mengenangkan pasti ada keindahan di hujung jalanan, saya rela dan tega menempuh segalanya. Ketika sekali-sekala saya diusik gelisah dan resah, saya lapangkan hati dengan berkata inilah dunia, dan aku hanya hamba. Dunia tempat diuji, dan aku layak diuji. Dunia bukan syurga. Kita hanya hamba.
'Jangan sampai ujian demi ujian menjejaskan fokus dan misi besar ku untuk menjadi mukmin bilionare berjiwa sufi. Jika benar ingin menjadi bilionare, inilah tagihannya". Begitulah bisik hati saya pada diri sendiri.
Jika sungguh hendak berjaya dan berjiwa sufi, inilah maharnya.
Mukmin hakiki melihat sesuatu walaupun hitam tetap dengan hati yang putih dan minda yang bersih. Itulah sikap positif. Jika kita hanya mampu melihat yang hitam dengan hati yang hitam, terus menyalahkan apa jua yang dianggap salah tanpa mengambil hikmah, maka buntulah usaha kita untuk memperbaiki diri.
Hati perlu digilap agar bercahaya dan berseri. Datang dan pergi itu soal biasa. Mentari tetap bersinar untuk bumi dengan setia. Begitulah seharusnya hati kita... ya, yang pergi tidak akan kembali. Buat yang masih ada, jangan hanya meneruskan tetapi perlu lebih meluruskan lagi langkah perjuangan.
Insya-Allah Haji Land akan maju jaya. Amin.