KISAH TOYOTA VELLFIRE UNTUK STAFF DARI DATO MOHAMAD AZLAN
Posting dari fb Dato Mohamad Azlan.
"TAHNIAH SHAFIQ,BERAYA DENGAN VELFIRE.
Tulisan ini saya dedikasikan kepada Muhammad Syafiq Rahim– seorang staf yang sudah agak lama bersama saya dalam mengharungi ombak, onak dan liku-liku perjuangan di bidang perniagaan.
Meskipun beliau hadir saat saya sudah di pertengahan dalam pendakian untuk ke puncak,tapi kehadirannya tidak dapat dinafikan telah menambah semangat juang saya agar langkah yang dihayun kekal gagah.
Saya kini mula mencecah usia 36 tahun manakala beliau pula berumur 28 tahun,namun Alhamdulillah kami saling menghormati dan bertolak ansur dalam banyak perkara.Menjadi seorang majikan,bukan lesen untuk pekerja direndahkan. Tapi semua staf tahu saya seorang yang sangat tegas,cuma tidak keras.Jika berlembut,bukan lemah.
Perbezaan kami uruskan,persamaan kami luruskan. Saya mahu menjadi majikan yang memahami denyut nadi kakitangan,biarpun saya tetap tidak akan sempurna.
Bagi saya, Syafiq bukan hanya seorang staf, tetapi dia lebih daripada itu. Dia adalah sahabat malah umpama adik saya sendiri.
Dia seorang yang setia, telus, jujur serta lemah-lembut dalam pergaulan dan tugasan. Sikap peka dan cakna terhadap keselamatan dan segala keperluan saya, sangat saya hargai.
Dia ialah seorang anak muda yang mempunyai kemahuan yang sangat tinggi, berani dan berfikiran terbuka.
Walaupun dalam diam, saya sedar beliau juga mempunyai sifat panas baran namun hingga kini saya lihat kemarahannya terkawal dan tepat pada tempatnya.
Syukur,keberanian dan kemarahannya tidak terbabas. Bahkan selalunya terarah kepada kebaikan. Dan dengan itu tidak sedikit pun menjejaskan hubungan saya dengannya.
Saya akui saya bukanlah yang terbaik dan patut menjadi idola kepada orang lain. Saya hanyalah pendosa yang memburu pintu taubat,dan mudah mudahan saya tidak terlambat.
Bila sesekali orang lain menghargai saya dengan sangka baik,maka saya membalasnya dengan kebaikan jua.
Apakah harapan saya terhadap Syafiq?
Harapan saya, bukan hanya sebagai majikan, bahkan lebih daripada itu ialah Syafiq akan muncul sebagai seorang berjaya dalam profesionnya di bidang perniagaan bersama saya.
Hanya dengan itu dia mampu memberi manfaat bukan hanya untuk diri dan keluarganya, malah kepada masyarakat dan ummah seluruhnya. Insya-Allah. Amin.
Antara momen yang paling mengharukan hati saya ialah sikap setia kawan dan persaudaraan yang ditunjukkannya ketika saya difitnah oleh ‘hatters’ melalui media sosial.
Saya dihenyak oleh musuh-musuh perniagaan saya kanan kiri, dari depan dan belakang, bertubi-tubi dengan begitu konsisten dan terancang.
Ketika itu, ada individu-individu yang hampir telah meminggir. Sebaliknya Syafiq bukan sahaja tidak meninggalkan saya bahkan terus siaga berdiri di samping saya, mempertahankan dan menangkis serangan-serangan nekad itu.
Usaha musuh untuk membunuh karektor dan karier perniagaan saya, dilawannya habis-habisan. Beliau telah berkorban masa, tenaga tanpa mengira siang malam demi kelangsungan perjuangan yang getir ini.
Sebagai pemimpin yang memegang amanah mendidik anak buah, saya bukan sahaja memuji bahkan adakalanya terpaksa menguji beliau.
Terbukti jiwa beliau kental sehingga iltizam dan kesetiaannya, bukan sahaja mampu bertahan tetapi semakin meningkat apabila diuji.
Dengan usia mencecah 28 tahun, ditambah oleh kemampuan dan kematangannya, Syafiq saya kira sudah layak untuk berumah tangga.
Saya nyatakan kepadanya, saya sedia membantu untuk beliau berkahwin.
Sebaliknya beliau bertegas dan tekad, untuk menangguhkan sementara semua itu atas dua faktor.
Pertama, untuk memberi fokus sepenuhnya bagi membantu saya mencapai kejayaan dalam perniagaan dan kehidupan.
Kedua, sekali gus dengan kejayaan membantu saya, beliau juga akan berjaya secara bersama.
Syafiq bimbang sekiranya beliau berumah tangga sekarang, tumpuannya untuk membantu saya akan berkurang dari segi masa, tenaga dan perhatian.
Dia tekad untuk memberi 100 peratus demi mencapai kejayaan saya dan dia secara sinergi. Hanya dengan itu, menurutnya rumah tangga yang akan dibinanya kelak akan memberi ketenangan dan kesenangan di sudut spiritual dan material.
Saya sama sekali tidak mahu membenar atau menyalahkan pendiriannya itu, tetapi saya sangat menghormati prinsip dan pilihannya.
Saya hanya mampu mendoakan agar semuanya dapat dicapai pada waktu yang tepat kerana Allah adalah sebaik-baik Perancang. Amin.
Sebagai anak muda, beliau tentunya mempunyai hobi dan minat yang tersendiri. Namun, saya lihat beliau sanggup meninggalkan itu semua untuk memberi lebih 100 peratus masa, tenaga dan tumpuannya untuk saya.
Beliau sentiasa berada di sisi saya, ketika di dalam atau luar negara, membantu dan memenuhi segala keperluan perniagaan saya setiap masa.
Tidak keterlaluan jika saya tegaskan bahawa Syafiq ialah seorang pekerja yang baik, pengurus yang cekap, sahabat yang setia, saudara yang ikhlas berukhwah penuh kasih sayang dan seorang adik yang sentiasa memahami serta miliki rasa empati.
Menjelang tahun 2023 iaitu setelah hampir dua tahun Shafik mencurah bakti kepada saya selaku salah seorang pengurus kanan,saya mula memikirkan keselesaan dan pembinaan hidup beliau.
Selaku seorang majikan dan juga insan yang dianggapnya sebagai abang,saya perlu bertanggujawab terhadap masa depan beliau.
Saya mempermudahkan urusan beliau memiliki sebuah kereta Toyota Velfire kira kira sehari menjelang hari raya. Saya ingin dia gembira dan rasa dihargai,walaupun apa yang saya berikan adalah masih kecil jika dibandingkan dengan keikhlasan dan keikhlasannya berkhidmat di syarikat saya.
Tahun depan,InsyaAllah saya bercadang untuk memastikan beliau dapat memiliki sebuah rumah kediaman sendiri yang selesa. Ya,saya harus membina kehidupannya agar dia dapat menjalani kehidupan berkeluarga dengan baik,InsyaAllah.
Saya mendoakan Shafik terus maju jaya.
Saya akan membimbingnya dengan terbaik dan sebaik mungkin,namun saya tidak ingin sesekali mengongkongnya. Saya hanya sekadar memberi panduan dan tunjuk ajar,selebihnya biarlah dia sendiri yang bertindak untuk kehidupannya yang lebih baik.
Suatu hari nanti jika ditakdirkan dia perlu bergerak lebih laju dan pantas sementelah saya pula telah tua serta makin perlahan,maka saya akan memberikan laluan untuknya.
Ya,jika suatu ketika saya sudah menjadi kereta lama,saya perlu berada di tepi jalan agar lorong seterusnya dapat dilalui oleh orang lain tanpa terhalang oleh saya.
Selamat maju jaya Shafik.
#Gambar beliau berbaju merah dan bertopi merah,adalah gambar dua tahun lepas ketika dia mula datang bertemu saya untuk memohon kerja.