DEDIKASI DATO' AZLAN AL AMIN KEPADA STAFF.
Agak jarang kita boleh baca nukilan seorang majikan yang memberi kata semangat di publik untuk staff.
Tetapi Dato' Azlan Al Amin dedikasikan dalam bentuk penulisan di status umum media sosial milik beliau sendiri.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0NMM6Ed12BPATU91cyD7gYhawyrBqSq6rxWqbs5y2V2pZ6CXH6Ap9msfJwoo2JHEQl&id=100050577185716&mibextid=Nif5oz
Ini nukilan penuh beliau...
"Izinkan saya menulis sebagai menghargai seseorang yang bermakna dalam hidup dan perjuangan saya untuk ke puncak.
Tulisan ini saya dedikasikan kepada Muhammad Syafiq Rahim– seorang staf yang sudah lama bersama saya dalam mengharungi ombak, onak dan liku-liku perjuangan.
Memang beliau hadir saat saya sudah di pertengahan dalam pendakian untuk ke puncak,tapi kehadirannya tidak dapat dinafikan bagi menambah semangat juang saya agar langkah kekal gagah.
Bagi saya, Syafiq bukan hanya seorang staf, tetapi dia lebih daripada itu. Dia adalah sahabat malah umpama adik saya sendiri.
Dia seorang yang setia, telus, jujur serta lemah-lembut dalam pergaulan dan tugasan. Sikap peka dan cakna terhadap keselamatan dan segala keperluan saya, sangat saya hargai.
Dia ialah seorang anak muda yang mempunyai kemahuan yang sangat tinggi, berani dan berfikiran terbuka.
Walaupun dalam diam, saya sedar beliau juga mempunyai sifat panas baran namun hingga kini saya lihat kemarahannya terkawal dan tepat pada tempatnya.
Syukur,keberanian dan kemarahannya tidak terbabas. Bahkan selalunya terarah kepada kebaikan. Dan dengan itu tidak sedikit pun menjejaskan hubungan saya dengannya.
Ada satu cerita yang menarik tentang dirinya. Satu ketika semasa saya berbual sambil makan dengan ayah beliau, terbuka satu rahsia yang selama ini terpendam dalam diam.
Dalam perbualan santai itu ayahnya telah memberitahu bahawa dia telah membaca buku saya – Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan. Buku itu sangat menyentuh hatinya sehinggakan dia berdoa dan bercita-cita untuk bertemu dengan saya.
Tanpa disangka-sangka dan disedarinya, akhirnya anaknya (Syafiq) telah bekerja dengan saya. Ya impiannya tercapai. Beliau sangat terkejut dan bersyukur kerana doanya menjadi kenyataan.
Saya akui saya bukanlah yang terbaik dan patut menjadi idola kepada orang lain.Cuma bila ada sesekali orang lain menghargai saya dengan sangka baik,maka saya membalasnya dengan kebaikan jua.Begitulah anggapan saya bila ayahnya bercerita akan peristiwa tersebut.
Syafiq yang juga tidak tahu akan rahsia bapanya juga terkejut kerana impian yang tidak pernah dinyatakan oleh ayahnya, akhirnya tertunai jua. Begitulah ketentuan Allah. Sehingga kini, ayahnya menyimpan buku tersebut dan ia kekal sebagai memori yang indah dalam hidupnya.
Apakah harapan saya terhadap Syafiq?
Harapan saya, bukan hanya sebagai majikan, bahkan lebih daripada itu ialah Syafiq akan muncul sebagai seorang berjaya dalam profesionnya di bidang perniagaan bersama saya.
Hanya dengan itu dia mampu memberi manfaat bukan hanya untuk diri dan keluarganya, malah kepada masyarakat dan ummah seluruhnya. Insya-Allah. Amin.
Antara momen yang paling mengharukan hati saya ialah sikap setia kawan dan persaudaraan yang ditunjukkannya ketika saya difitnah oleh ‘hatters’ melalui media sosial.
Saya dihenyak oleh musuh-musuh perniagaan saya kanan kiri, dari depan dan belakang, bertubi-tubi dengan begitu konsisten dan terancang.
Ketika itu, ada individu-individu yang hampir telah meminggir. Sebaliknya Syafiq bukan sahaja tidak meninggalkan saya bahkan terus siaga berdiri di samping saya, mempertahankan dan menangkis serangan-serangan nekad itu.
Usaha musuh untuk membunuh karektor dan karier perniagaan saya, dilawannya habis-habisan. Beliau telah berkorban masa, tenaga tanpa mengira siang malam demi kelangsungan perjuangan yang getir ini.
Sebagai pemimpin yang memegang amanah mendidik anak buah, saya bukan sahaja memuji bahkan adakalanya terpaksa menguji beliau.
Terbukti jiwa beliau kental sehingga iltizam dan kesetiaannya, bukan sahaja mampu bertahan tetapi semakin meningkat apabila diuji.
Dengan usia mencecah 28 tahun, ditambah oleh kemampuan dan kematangannya, Syafiq saya kira sudah layak untuk berumah tangga.
Saya nyatakan kepadanya, saya sedia membantu untuk beliau berkahwin.
Sebaliknya beliau bertegas dan tekad, untuk menangguhkan sementara semua itu atas dua faktor.
Pertama, untuk memberi fokus sepenuhnya bagi membantu saya mencapai kejayaan dalam perniagaan dan kehidupan.
Kedua, sekali gus dengan kejayaan membantu saya, beliau juga akan berjaya secara bersama.
Syafiq bimbang sekiranya beliau berumah tangga sekarang, tumpuannya untuk membantu saya akan berkurang dari segi masa, tenaga dan perhatian.
Dia tekad untuk memberi 100 peratus demi mencapai kejayaan saya dan dia secara sinergi. Hanya dengan itu, menurutnya rumah tangga yang akan dibinanya kelak akan memberi ketenangan dan kesenangan di sudut spiritual dan material.
Saya sama sekali tidak mahu membenar atau menyalahkan pendiriannya itu, tetapi saya sangat menghormati prinsip dan pilihannya.
Saya hanya mampu mendoakan agar semuanya dapat dicapai pada waktu yang tepat kerana Allah adalah sebaik-baik Perancang. Amin.
Sebagai anak muda, beliau tentunya mempunyai hobi dan minat yang tersendiri. Namun, saya lihat beliau sanggup meninggalkan itu semua untuk memberi lebih 100 peratus masa, tenaga dan tumpuannya untuk saya.
Beliau sentiasa berada di sisi saya, ketika di dalam atau luar negara, membantu dan memenuhi segala keperluan perniagaan saya setiap masa.
Tidak keterlaluan jika saya tegaskan bahawa Syafiq ialah seorang pekerja yang baik, pengurus yang cekap, sahabat yang setia, saudara yang ikhlas berukhwah penuh kasih sayang dan seorang adik yang sentiasa memahami serta miliki rasa empati." - Sumber FB Dato' Azlan Amin